KUALA LUMPUR, 26 Mac (Hrkh) - Stesen komuter UKM Bangi adalah salah satu saluran lalulintas penting bagi masyarakat setempat khususnya warga kampus UKM dan juga Sungai Tangkas, bagaimanapun keadaan stesen tersebut masih ditakuk lama.
Tiada lampu jalan pada waktu malam yang boleh membahayakan pengguna perkhidmatan komuter ditambah pula suasana persekitaran yang tidak terancang menyebabkan ia kelihatan seolah-olah tidak diurus.
Ekoran kegagalan tindakan pihak berkuasa termasuklah Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dalam menyediakan kemudahan awam banyak kejadian peras ugut dan ragut menggunakan senjata tajam berleluasa di situ.
Kebanyakkan masyarakat kampus dan setempat menggunakan komuter untuk berulang-alik dari situ ke destinasi masing-masing dari Bangi hinggalah Kuala Lumpur.
Masalah ini telah diberi perhatian kepada wakil rakyat yang baru diberi mandat iaitu Dr Shafie Abu Bakar.
Dalam pertemuan dengan Dr Shafie di komuter UKM Bangi semalam, beliau melahirkan kekecewaan tentang masalah ini yang pernah dibawanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 1999 ketika menjadi Adun Kajang.
Bagaimanapun, katanya pekara itu sehingga hari ini tidak diendahkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Menurutnya, ketiadaan lampu jalan menyebabkan suasana malam bertambah gelap dan membahayakan pengguna-pengguna perkhidmatan komuter.
Katanya banyak kejadian ragut dan ugut menggunakan senjata tajam sebagaimana telah terjadi kepada mahasiswa UKM beberapa bulan yang lalu.
Tambahnya, lebih dua orang peragut menggunakan motosikal mengepung pelajar terbabit dan mengacukan pisau di leher semasa pelajar berkenaan berjalan menghala ke parkir kereta.
"Kita tidak mahu kejadian seperti ini berlaku lagi, yang boleh membahayakan pengguna komuter khususnya pelajar-pelajar," katanya. Untuk mengurangkan kejadian seperti ini, katanya pihak berkuasa digesa memasang lampu-lampu jalan serta memastikan ianya sentiasa menyala di waktu malam.
"Soal lampu jalan bukanlah perkara baru bahkan ia berlarutan sejak 10 tahun yang lalu, perkara ini perlu diambil serius oleh MPKj," katanya.
Selain itu beliau turut mengemukakan masalah yang ditimbulkan penduduk di sekitar antaranya, jalan runtuh dihakis hujan lebat pada 22 Mac baru-baru ini, dan tidak ada lampu isyarat yang boleh mengundang kemalangan.
Beliau juga turut mencadangkan agar pihak berkuasa mewujudkan parkir yang lebih banyak dengan memanfaatkan tanah kosong yang berhampiran stesen itu.
Tambahnya, kawasan stesen itu juga perlu diberi keceriaan dengan membersihkan kawasan semak samun berdekatan menggantikan dengan pokok bunga yang menyedapkan mata memandang.
Justeru, beliau juga percaya dengan perubahan pucuk pimpinan di Selangor yang diberi kepercayaan oleh rakyat dalam pilihan raya 8 Mac lalu akan mempermudahkan beliau untuk menyelesaikan masalah ini. - mks.
* I saw this few days they already add additional light in the area.
Announcement - We are in testing mood on opening our wireless network to the public. There is limited wireless line to be rent . Please feel free to ask about the package at Street-IT.